Foto RTM
KUALA LUMPUR,7 November- Kementerian Luar akan memastikan kepentingan negara sentiasa terjaga dan terpelihara dalam semua organisasi antarabangsa disertainya termasuk BRICS.
Kementerian Luar dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan sebagai sebuah negara perdagangan,penting untuk Malaysia menjalinkan hubungan baik dengan semua negara,terutama dalam meneroka potensi yang membawa manfaat melalui perdagangan dan pelaburan baharu.
“BRICS yang penubuhannya berasaskan pembangunan ekonomi dan kewangan,tidak membincangkan isu-isu keselamatan,termasuk isu Laut China Selatan,” menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).
Muhyiddin ingin tahu lebih lanjut tentang penyertaan Malaysia dalam BRICS dan sama ada cadangan menyertai gabungan itu adalah susulan kajian impak menyeluruh oleh pakar atau Wisma Putra.
Menurut kementerian itu,hasrat Malaysia menyertai BRICS yang dizahirkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Jun lepas adalah berpaksikan kepada kepentingan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan negara anggota BRICS yang dapat memacu pembangunan ekonomi negara.
BRICS merupakan sebuah organisasi yang kini dianggotai oleh sembilan buah negara iaitu Brazil,Rusia,India,China,Afrika Selatan,Emiriah Arab Bersatu (UAE),Ethiopia,Iran dan Mesir.
Negara anggota BRICS secara kolektifnya mewakili lebih daripada 3.2 bilion penduduk,atau 41.5 peratus daripada populasi dunia.
Dari segi ekonomi menurut kementerian,Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota BRICS secara kumulatifnya berjumlah USD$26.6 trilion,yang menyumbang sebanyak 26.2 peratus daripada KDNK dunia.
“Ini adalah hampir sama dengan kekuatan ekonomi negara G7. Kekuatan ekonomi negara anggota BRICS sebagai sebuah blok akan membantu meningkatkan perdagangan antarabangsa dalam kalangan negara anggotanya,termasuk Malaysia.
“Dalam hal ini,penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS adalah selari dengan usaha memacu ekonomi negara untuk berkembang dengan lebih pesat,stabil,dan berdaya tahan,” menurut kementerian itu.
Ini kerana ia berupaya membuka peluang pasaran baharu untuk perdagangan negara yang seterusnya dapat meningkatkan perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI) dengan negara anggota BRICS,sekali gus mengimbangi kebergantungan negara kepada pasaran tradisional sedia ada.-BERNAMA
Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak cipta 2009-2020 Rangkaian Berita Melayu Hubungi kami SiteMap