Foto BERNAMA
SIPITANG,15 September- Sebanyak 4,629 stesen pemancar sedia ada di Sabah dinaik taraf melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ia bagi memastikan tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan internet berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan rakyat.
"Sebanyak 303,569 premis pula akan dilengkapi sambungan gentian optik melalui JENDELA.
"Perkhidmatan jalur lebar melalui satelit Broadband Wireless Access (BWA) turut dilaksanakan di 138 lokasi di Sabah," menurut kenyataan itu.
Pembuktian konsep (POC) perkhidmatan jalur lebar Starlink di pedalaman dan terpencil juga dilakukan dengan peranti telah dipasang di Papar,Keningau (dua lokasi),Tawau (dua lokasi) serta masing-masing satu lokasi di Kudat,Ranau,Tuaran dan Nabawan,menurut kenyataan itu.
"Pemasangan peranti POC Starlink ini bagi menilai kebolehlaksanaan penyediaan perkhidmatan jalur lebar menggunakan satelit itu sebagai salah satu langkah untuk memenuhi pelbagai keperluan yang terangkum dalam JENDELA," menurutnya.
Menerusi kenyataan sama,sebanyak 118 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah beroperasi di seluruh Sabah manakala 14 lagi NADI baharu akan dibina.
"Bagi memperkasakan komuniti selain memastikan capaian serta peluang sama rata,program yang ditawarkan di NADI kini berpaksikan lima teras utama iaitu Keusahawanan,Pembelajaran Sepanjang Hayat,Kesejahteraan Kendiri,Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan," menurutnya.
Terdahulu,Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengadakan lawatan ke Kampung Mondikot,Papar bagi meninjau perkembangan projek POC Starlink.
Beliau turut menghadiri program Hari Bersama Komuniti di NADI Mesapol di sini serta meninjau perkembangan projek menara komunikasi JENDELA di Kampung Menengah Ulu Sipitang.
Turut hadir,Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah,Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak cipta 2009-2020 Rangkaian Berita Melayu Hubungi kami SiteMap