Rumah Panduan Hidup Urus niaga perniagaan Gelang pintar Lebih

Urusan perumahan MADANI diarah dipercepat, pastikan golongan berpendapatan rendah dapat miliki rumah

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Ketua Pengarah Urusan Mah Sing,Tan Sri Leong Hoy Kum melihat replika Residensi Suria MADANI pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Suria MADANI di Taman Desa hari ini / FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR,29 Ogos- Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah mempercepat segala urusan blok perumahan MADANI untuk setiap projek baharu.

Tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,ia bertujuan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah mampu milik.

Beliau turut menetapkan syarat dalam pembinaan projek perumahan perlu meliputi keselesaan hidup,kehijauan kawasan,kemudahan rekreasi dan kemudahan rakyat termasuk gerai MADANI.

"Kalau lengahkan kelulusan,kos rumah lebih tinggi. Kalau ada komisen lagi,syarikat tidak akan rugi,tapi nak untung. Kos rasuah,kos bank semua akhirnya terbeban pada pembeli. Negara takkan maju kalau macam ini,rakyat tak terbela,"katanya.

Beliau menjelaskannya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Suria MADANI di Taman Desa.

Sebanyak 800 unit Residensi MADANI akan dibina oleh syarikat pemaju Mah Sing Group Berhad berkeluasan 800 kaki persegi yang akan dijual pada harga RM200,000.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa,Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut,beliau mahu kemajuan setiap projek untuk dibentangkan secara berkala kepada Jabatan Wilayah dan DBKL.

Dalam pada itu,Perdana Menteri juga tidak ambil pusing bantahan golongan elit terhadap pembinaan rumah mampu milik.

Katanya,rakyat perlu bersatu dengan mengambil ibrah Merdeka untuk tidak meminggirkan golongan berpendapatan rendah.

"Setiap kali membangunkan perumahan rakyat,ada sahaja bantahan.

"Rakan- rakan saya menghantar mesej untuk menjaga kebersihan dan keselesaan untuk rakan-rakan berpendapatan tinggi untuk membina rumah.

"Kemudian golongan berpendapatan rendah ni nak duduk mana? Kawasan yang baik hanya didiami golongan kaya," katanya.

Tegasnya lagi,kayu ukur kehebatan sesebuah kota bergantung kepada keupayaan kerajaan menyantuni dan menjaga kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Sekali gus tidak mengira taraf dan status ekonomi mereka.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Prestasi pelancongan domestik mengukuh - DOSM

Top Glove perkenal program literasi kewangan bersama CIMB Foundation

Sungai Kelaik dicemari, penduduk Orang Asli resah

Lebih 300 sukarelawan MTSP siap siaga hadapi banjir gelombang ketiga

RM1 juta diperuntukkan untuk pembangunan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin

Kerjasama Tourism Johor dan MBJB hasilkan mural tarikan pelancong

© Hak cipta 2009-2020 Rangkaian Berita Melayu    Hubungi kami  SiteMap